Sinopsis Debunga Lalang

Drama ini mengisahkan Saodah (Ku Fridah), janda kaya yang tinggal di sebuah kampung. Dia mempunyai dua anak perempuan, hasil dua perkahwinan yang berbeza bernama Aishah (Noorkhiriah) dan Khatijah (Wan Sharmila).

Aishah, wanita berkeperibadian lembut dan ikhlas mendirikan rumah tangga dengan Halim (Zul Ariffin), seorang lelaki kampung yang bertanggungjawab dan kuat berusaha.

Mereka mempunyai dua anak perempuan, Alia dan Arina.

Khatijah pula, seorang yang dominan dan keras hati. Setiap kehendaknya perlu dipenuhi. Khatijah menikahi Bakri (Ungku Ismail), dekan kolej tempatan, atas pilihan Saodah. Sayangnya, dia tidak dikurniakan cahaya mata.

Saodah tidak adil dalam membahagikan kasihnya kepada puterinya itu. Saodah melebihkan Khatijah, termasuk soal pelajaran. Aishah hanya diberi pendidikan sehingga tamat sekolah sahaja, sedangkan Khatijah melanjutkan pelajaran ke universiti.

Suatu hari, Aishah disahkan hamil anak ketiga. Khatijah cemburu dan meminta Saodah membuat perjanjian dengan Aishah. Seandainya anak dalam kandungan Aishah perempuan, maka dia harus diserah kepada Khatijah.

Impian Khatijah menjadi kenyataan apabila Aishah melahirkan anak perempuan. Khatijah dan Saodah memaksa Aisyah untuk memenuhi ‘janjinya dengan menyerahkan bayi perempuan yang diberi nama Ayang Mastura itu kepada Katijah. Pelbagai helah dilakukan Saodah, termasuklah mengupah bomoh. Ditambah pula keadaan kesihatan bayi tersebut yang sering sakit sejak dilahirkan.

Demi menjaga perasaan Saodah, akhirnya Aishah dan suami terpaksa menyerahkan bayi mereka walaupun hati tidak merelakan. Tidak puas menyakiti Aishah, Khatijah nekad mahu memutuskan hubungan Ayang dengan keluarga kandungnya. Kesempatan baik diperolehinya apabila suaminya, Bakri, mendapat tawaran mengajar di luar negara.

Berjayakah Aishah dan Halim mendapatkan anak mereka? Saksikan drama 'Debunga Lalang' setiap Isnin hingga Khamis jam 4 petang di slot Azalea.